Taksonomi dan evolusi Chrysemys

Pakar alamiah (naturalis) German Johann Gottlob Schneider individu pertama mendokumentasikaan Kura-kura Berwarna.

Kura-kura Berwarna (C. picta) ialah spesies monotip dari genus Chrysemys,[6] iaitu keluarga Emydidae dan subkeluarga Deirochelyinae.[108] Terdapat empat subspesies iaitu Kura-kura Berwarna Timur (C. p. picta), Kura-kura Berwarna Pertengahan (C. p. marginata), Kura-kura Berwarna Selatan (C. p. dorsalis), dan Kura-kura Berwarna Barat (C. p. bellii).[109]

Perkataan Chrysemys diambil daripada perkataan Yunani (Greek) Purba iaitu chryso yang bermaksud "emas" dan emys yang bermaksud "kura-kura air tawar" ; Nama spesies, pictus berasal dari istilah Latin yang membawa maksud "berwarna" .[110] Nama subspesies, marginata, diambil dari istilah Latin juga yang bermaksud "sempadan" merujuk kepada tanda merah pada cangkerang belakang kura-kura; dorsalis juga diambil dari istilah Latin yang bermaksud "belakang", merujuk kepada garisan di bahagian dorsal kura-kura; dan perkataan bellii sebagai penghormatan kepada zoologist Inggeris, Thomas Bell, salah seorang rakan Charles Darwin.[111][112] Perkatan-perkataan asing lain yang merujuk kepada spesies Kura-kura Berwarna ini ialah "skilpot", yang berasal dari perkataan Jerman, schildpad.[113]

Klasifikasi

Johann Gottlob Schneider menamakan spesies ini sebagai Testudo picta pada tahun 1783,[6][114] kemudiannya digelar Chrysemys picta oleh John Edward Gray pada tahun 1855. Selepas itu, empat subspesies dikategorikan: Kura-kura Berwarna Timur oleh Schneider pada 1783,[114][115] Kura-kura Berwarna Barat oleh Gray pada 1831,[115][116] diikuti dengan Kura-kura Berwarna Pertengahan dan Kura-kura Berwarna Selatan oleh Louis Agassiz pada 1857.[117][118]

Sehingga tahun 1930an kesemua subspesies Kura-kura Berwarna dilabelkan sebagai Chrysemys oleh kebanyakan pakar biologi. Kura-kura Berwarna Barat dan Kura-kura Berwarna Pertengahan kadangkala dilabel sebagai spesies treleasei. Pada tahun 1931, Bishop dan Schmidt melakukan kajian perbandingan dan mendapati terdapat perbezaan pada spesies Kura-kura Berwarna. Mereka seterusnya mengelaskan spesies ini kepada empat subspesies dan menggugurkan istilah treleasei.[119]

Sejak tahun 1958,[82][nb 6] setiap subspesies berevolusi disebabkan pengasingan geografi semasa akhir Zaman Ais iaitu sekitar 100,000 ke 11,000 tahun yang lalu.[33] Sehingga waktu itu, Kura-kura Berwarna terbahagi kepada tiga populasi yang berbeza: Kura-kura Berwarna Timur di sepanjang tenggara berhampiran pantai Atlantik; Kura-kura Berwarna Selatan di sepanjang selatan Sungai Mississippi; dan Kura-kura Berwarna Barat di barat daya Amerika Syarikat.[28] Penghujung Zaman Ais, sekitar 11,000 tahun yang lalu, ketiga-tiga subspesies ini bermigrasi ke utara. Kura-kura Berwarna Barat dan Kura-kura Berwarna Selatan bertemu di Missouri dan saling berkacukan menghasilkan subspesies baru, Kura-kura Berwarna Pertengahan, yang seterusnya berpindah ke timur dan utara melalui Ohio dan lembangan sungai Tennessee.[82][28]

Pakar biologi saling berdebat mengenai tiga genus kura-kura yang hampir serupa iaitu Chrysemys, Pseudemys dan Trachemys. Selepas tahun 1952, ada pakar menyatukan kedua-dua genus, Pseudemys dan Chrysemys kerana mempunyai ciri-ciri yang serupa.[120] Namun pada tahun 1964, berdasarkan ukuran tengkorak dan kaki kura-kura ini, Samuel B. McDowell mencadangkan ketiga-tiga genera itu disatukan. Walau bagaimanapun, kajian lanjutan dilakukan pada tahun 1967, dan mendapati terdapat percanggahan susunan taksonomi. Malah, J. Alan Holman,[121] seorang paleontologis dan herpetologis, menyatakan bahawa; walaupun ketiga-tiga genus kura-kura ini sering dijumpai dalam habitat yang sama, serta mempunyai corak mengawan yang sama namun mereka tidak saling berkacukan sesama sendiri. Akhirnya, dalam tahun 1980an, kajian dilakukan terhadap biokimia, struktur sel dan parasit kura-kura ini mendedahkan bahawa wujud perbezaan ketiga-tiga genus kura-kura ini dan seterusnya Chrysemys, Pseudemys, dan Trachemys dikekalkan sebagai genus yang terasing.[122]

David E. Starkey dan rakan-rakan mengemukakan satu pandangan baharu mengenai subspesies ini pada tahun 2003. Berdasarkan kajian DNA mitokondrion, mereka menolak teori pembangunan glasial dan mencadangkan bahawa Kura-kura Berwarna Selatan perlu diletakkan sebagai spesies yang berbeza, iaitu C. dorsalis, sementara subspesies yang lain disatukan menjadi satu spesies.[123] Bagaimanapun, cadangan ini tidak diiktiraf kerana terdapat kejayaan dalam pembiakan antara kesemua subspesies ini di mana-mana sahaja ia dijumpai.[115][124] Namun, pada tahun 2010, IUCN masih menerima kedua-dua istilah C. dorsalis dan C. p. dorsalis sebagai nama yang sah bagi Kura-kura Berwarna Selatan.[3]

Fosil

Cangkerang belakang dan hadapan seekor fosil kura-kura, kira-kira 5 juta tahun dahulu, dari Tennessee[125]

Walaupun proses evolusi Kura-kura Berwarna ini masih kabur dan kurang difahami, tapi fosilnya bukanlah asing.[126] Contohnya sebuah fosil purba telah dijumpai di Nebraska, berusia kira-kira 15 juta tahun dahulu. Fosil daripada 15 juta hingga sekitar 5 juta tahun dahulu berhampiran kawasan Nebraska-Kansas, dan fosil-fosil terkini masih boleh dijumpai. Malah, fosil lebih muda berusia sekitar 300,000 tahun dahulu dijumpai hampir di kesemua kawasan Amerika Syarikat dan selatan Kanada.[1]

DNA

kariotip kura-kura (nuklear DNA) terdiri daripada 50 kromosom, adalah sama pada semua keluarga Emydidae secara umum.[10][127][128] Manakala keluarga kura-kura lain memiliki antara 26 ke 66 kromosom.[129] Kajian sistematik mengenai variasi pada kariotip Kura-kura Berwarna masih kurang dilakukan.[130] (Bagaimanapun, pada tahun 1967, kajian terhadap struktur protein populasi Kura-kura Berwarna di kepulauan New England, menunjukkan terdapat perbezaan dengan kura-kura dari tanah besar.[131])

Perbezaan kromosom DNA kesemua subspesies hangat dibincangkan, bagi mengenalpasti cadangan taksonomi yang dikemukakan oleh Starkey, namun pada tahun 2009 tiada laporan lanjutan diketengahkan.[130][132] Lebih menarik, kod genetik jujukan bagi Kura-kura Berwarna adalah dalam "draf susunan" (draft assembled) pada tahun 2010, kerana kura-kura ini dipilih untuk dijujuki.[133]

Rujukan

WikiPedia: Chrysemys http://blog.conservancy.bc.ca/2010/08/protecting-t... http://www.env.gov.bc.ca/okanagan/esd/atlas/specie... http://www.hat.bc.ca/stewardship-projects/stewards... http://www.cbc.ca/news/canada/saskatchewan/record-... http://cfs.nrcan.gc.ca/subsite/glfc-amphibians/chr... http://dsp-psd.pwgsc.gc.ca/Collection/CW69-14-505-... http://www.sararegistry.gc.ca/species/speciesDetai... http://www.sararegistry.gc.ca/species/speciesDetai... http://www.boissevainrecorder.mb.ca/placed%20news/... http://museum.gov.ns.ca/amphibians/en/turtles/pain...